“Otak macam Ferrari..tetapi dibawaknya macam kereta kancil..rosak la kereta tu”Begitulah petikan kata-kata dari adik Adiputra semasa di Buletin Utama kelmarin dan Menteri yang berkenaan pun sudah pun membuat sidang media dan menerangkan hal yang sebenarnya kepada pihak umum dan menurut beliau, kementerian sedia membantu..tapi apa kan daya pihak ibu bapanya mahu dia dihantar ke sekolah lain tidak seperti yang dicadangkan oleh kementerian.

Selain itu pihak kementerian telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk membuat satu kurikulum khas untuk Adiputra ini yang mana tahap kepintaran otaknya melebihi dari pelajar biasa yang lain yang mana kemampuan otak Adiputra memang diluar jangkaan..kita ikuti petikan dari utusanonline yang ada memaparkan secebis kisah mengenai adik Adiputra.

Budak pintar mengadu bosan kurikulum sekolah

Oleh: JAMDI NASIR

TANJUNG MALIM 21 Jan. - Ibu bapa kanak-kanak genius, Adi Putra Abd. Ghani (kanan), 7, yang mula memasuki tahun satu persekolahan baru-baru ini, kini dalam keadaan dilema apabila kanak-kanak itu mengadu bosan mengikuti kurikulum biasa di sekolahnya.

Bapanya, Abd. Ghani Abd. Wahid, 48, berkata, walaupun Adi Putra mampu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan termasuk bergaul dengan pelajar lain, namun anaknya itu seolah-olah `terpaksa’ mengikuti pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, Adi Putra seperti rakan-rakan sebayanya, kini belajar menulis nombor asas dan kemudian mewarnakannya, sedangkan anaknya mampu menyelesaikan masalah matematik sehingga ke angka trilion dan setaraf dengan seorang pakar dalam bidang tersebut.

Katanya, Adi Putra adalah `aset’ yang mungkin boleh menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara sekiranya diberi peluang mengetengahkan kebolehan yang dikurniakan kepadanya.

“Saya tidak berniat mempertikaikan sistem pendidikan kita yang mewajibkan pelajar mengikuti pelajaran tahun satu sebelum ke tahap lebih tinggi secara berperingkat.

“Apa yang ingin saya luahkan ialah saya kasihan dengan keadaan Adi sebab dia mempunyai kebolehan yang hebat tetapi terpaksa mengikuti sukatan pelajaran tahun satu,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Beliau mengiringi Adi Putra pada majlis pertemuan dengan lebih 1,000 mahasiswa di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di Bandar Proton, di sini.

Kebolehan Adi Putra menarik perhatian banyak pihak apabila mampu menyelesaikan persoalan matematik paling sukar seperti ilmu pengiraan trigonometrik, algebra dan pelbagai lagi dalam tempoh singkat.

Abd. Ghani berkata, dalam keadaan sekarang, dia amat berharap jika Kementerian Pelajaran atau pihak-pihak berkaitan boleh memberi ruang kepada Adi Putra untuk mengembangkan kebolehannya tanpa menjejaskan perkembangan diri sebagai seorang kanak-kanak biasa.

“Apa yang saya fikirkan ialah apa yang Allah kurniakan kepada Adi Putra wajar dimanfaatkan bagi kemajuan dalam bidang matematik, sains dan teknologi khususnya bagi pembangunan umat Islam,” katanya.

Abd. Ghani menegaskan dia tidak bermaksud sama sekali untuk mengkomersialkan kebolehan anaknya dan menolak tawaran bernilai berjuta-juta ringgit daripada sebuah syarikat swasta untuk membeli formula kanak-kanak itu.

Sumber:www.utusan.com.my

Baru-baru ini pula ada juga yang mengatakan bahawa adik Adiputra ni hanya bijak dalam bidang Matematik sahaja dan tidak dalam matapelajaran lain.Sejauh manakah kebenaran kenyataan tersebut?hanya adik Adiputra sendiri yang mengetahuinya.Walaubagaimana pun rasanya memang agak rugi membiarkan budak yang sekecil ini sudah mampu menyelesaikan pelbagai masalah Matematik yang di tahap yang tinggi.

Jadi, apa yang perlu dilakukan.Selepas sahaja Buletin Utama membuat laporan mengenai adik Adiputra..Unisel iaitu salah sebuah universiti di Malaysia menawarkan tempat di Unisel yang mana seorang budak memasuki universiti dan ditawarkan tempat untuk pengajian di institusi berkenaan.Tetapi adakah ianya relevan dengan umur dan tahap kematangan adik Adiputra?Bagaimana dia mahu berkomunikasi dan bergaul dengan rakan-rakan yang jauh lebih tua dari adik Adiputra dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus sebagai seorang mahasiswa?Tentu banyak pro dan kontranya.Jika diamati memang bakat dan kepintarannya tidak harus disia-siakan tetapi perlulah dibawa ke arah yang betul dan ianya tidak membebankan ibu dan bapa adik Adiputra..

Kita ikuti Buletin Utama untuk melihat perkembangan laporan mengenai adik Adiputra ini